ads

Kampung Tempe Di Singapura Memang Pernah Wujud

kampung-tempe

SINGAPURA – Mungkin bagi peminat allahyarham Tan Sri P. Ramlee pernah dengar dialog lucu Kampung Tempe diucapkan rakannya, Allahyarham S. Samsudin dalam filem Seniman Bujang Lapok.

Barang kali ada anggap rujukan nama kampung itu sekadar gurauan spontan bagi mencetuskan suasana kelakar, tetapi tahukah anda bahawa perkampungan tersebut memang pernah wujud di Singapura suatu ketika dahulu.
Malangnya, dalam kalangan generasi muda Singapura, ramai cuma biasa makan tempe, namun mungkin tidak pernah dengar tentang kewujudan Kampung Tempe. Mungkin mereka lebih biasa dengan nama Masjid Al-Huda?
Sebenarnya persekitaran terletaknya masjid tersebut sekarang, dahulunya merupakan kawasan Kampung Tempe, iaitu sebuah perkampungan kecil yang ditubuhkan pada awal tahun 1905 lalu oleh sekumpulan orang Jawa.
Kini, Kampung Tempe tinggal kenangan dan mungkin namanya hanya meniti di bibir generasi lama namun hakikatnya terdapat banyak kisah menarik mengenai Kampung Tempe yang perlu masyarakat hari ini tahu.
Mujur buku ‘Kampung Tempe – Suara Dari Sebuah Kampung Melayu’ (Kampung Tempe – Voices from a Malay Village) menghimpunkan pelbagai cerita menarik kampung itu daripada bekas penduduknya sendiri, diterbitkan.
Menurut penulis buku tersebut, Hidayah Amin, buku berkenaan penting kerana ia merakamkan kisah-kisah unik Kampung Tempe yang tidak diketahui ramai khasnya generasi muda, menurut laporan agensi berita MediaCorp.
“Buku ini penting, kerana tidak banyak buku sejarah Melayu ditulis dalam bahasa Inggeris. Maka orang bukan Melayu boleh sama-sama membacanya,” katanya memberitahu mengenai rasional buku dwibahasa itu dihasilkan.
tempe
tempe
Hidayah menambah bahawa buku tersebut diharap dapat menarik minat ramai untuk mengenali sejarah penting Kampung Tempe termasuk kisah sebuah madrasah terkenal di perkmapungan berkenaan iaitu Bustanul Arifin.
“Pengasasnya ialah Ustaz Hj Ahmad Sondhaji Mohamad. Buku ini mengupas bagaimana madrasah ini walaupun tidak begitu besar tetapi berjaya memenuhi keperluan penduduk Kampung Tempe lewat 1980-an,” tambah beliau.
Jika namanya Kampung Tempe, maka daripada kampung itu jugalah pada waktu tersebut asal datangnya makanan tradisional terkenal etnik Jawa di seluruh Nusantara yang berasaskan bijirin kacang soya dikeringkan iaitu tempe.
Buku itu turut menerangkan dengan lebih lanjut tentang proses pembikinan serta penjualan tempe di kampung tersebut, malah, tempe yang dibekalkan di Singapura pada waktu itu sebenarnya adalah daripada kampung tersebut.
Menurut penulis bersama buku berkenaan, Dr. Yahaya Sanusi yang juga merupakan bekas penduduk Kampung Tempe, beliau menulis buku itu demi mendalami asal usul keturunan beliau dan rujukan generasi akan datang.
“Tujuan saya menulis buku itu adalah untuk mencari jawapan sebenar kepada soalan daripada manakah saya datang, siapakah moyang saya dan apakah yang berlaku pada ketika itu,” kongsi beliau kepada MediaCorp.
“Setiap sejarah kampung tersebut adalah penting walaupun yang sekecil macam Kampung Tempe, maka kalau kita tidak mengkaji sejarahnya, gambaran Singapura itu seperti tidak akan sempurna,” tambah Dr. Yahaya lagi.
Buku ‘Kampung Tempe – Suara Dari Sebuah Kampung Melayu – Voices from a Malay Village’ bakal dilancarkan pada 23 Julai sempena pameran ‘Pusaka: Warisan dan Budaya Jawa di Singapura’. – SAYANG.NET

No comments

Powered by Blogger.