ads

Pihak Honda Perjelas Isu Biaya Pengiring Khairul Idham Pawi

U-BARU ini media tempatan melaporkan keluhan bapa Khairul Idham Pawi (Keon) berkaitan ketiadaan pihak yang sudi membantu membiayai kos pegawai pengiring anaknya itu di luar negara.

Bagaimanapun, kenyataan itu telah dijawab oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa pihak kementerian di bawah seliannya telah meluluskan peruntukan permulaan sebanyak RM100 ribu bagi membantu perjalanan karier Keon dalam arena Moto3.
“Saya mempunyai salinan surat daripada Jabatan Belia dan Sukan Negara bertarikh 24 Jun 2016 yang dihantar kepada Khairul Idham berkenaan kelulusan peruntukan RM100,000 seperti yang dijanjikan sebelum ini,” katanya.
Namun disebabkan berlaku beberapa permasalahan berkaitan dokumentasi, wang pendahuluan tersebut tidak dapat diserahkan kepada Khairul Idham.
Pihak Honda Perjelas Isu Biaya Pengiring Khairul Idham Pawi
“Dalam surat itu kita meminta beberapa maklumat peribadi termasuk akaun bank atas nama Khairul Idham tetapi diberikan akaun bank atas nama bapanya, Pawi Omar dan dokumen yang diserahkan juga tidak lengkap seperti diminta,” jelas Khairy.
Susulan isu berkenaan, pihak Boon Siew Honda Sdn Bhd juga telah tampil menjelaskan kemelut dan kontroversi berkaitan dakwaan Pawi Omar yang mengatakan dia dan keluarga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi melancarkan karier anaknya dan juga biaya pengawai pengiring.
Menurut pihak Boon Siew, Khairul merupakan pelumba kontrak di bawah pengurusan mereka.
Oleh itu, segala perbelanjaan berkaitan karier pelumba muda negara itu sama ada dari segi penginapan, makanan, gaji bulanan serta tiket penerbangan dan lain-lain perbelanjaan berkaitan, semuanya adalah ditanggung oleh pihak itu.
Malah, tambah pihak Boon Siew lagi, perancangan jangka masa panjang bagi perjalanan karier Khairul untuk ke peringkat lebih tinggi di peringkat antarabangsa juga telah siap tersedia.
Selain itu, mereka juga bertanggung jawab dalam mendapatkan penajaan peribadi untuk juara Moto3 Grand Prix Jerman itu dengan menawarkan penajaan tambahan seperti yang telah dilakukan dengan syarikat RedBull baru-baru ini.
Di samping itu, Honda juga menjelaskan bahawa pihaknya tidak terlibat dengan mana-mana kempen dan permohonan kewangan tambahan seperti kos pengiring  yang difikirkan perlu oleh keluarga Khairul Idham.
“Kami tidak terlibat dan ingin menjelaskan bahawa mana-mana kempen ataupun permohonan sokongan kewangan tambahan yang mendapat liputan ketika ini adalah untuk membiayai perbelanjaan yang difikirkan perlu oleh pihak keluarga Khairul seperti kos bagi ‘pengiring’,” jelas pihak Boon Siew Honda. -MYNEWSHUB.CC


No comments

Powered by Blogger.