ads

UAE Larang Sebar Foto, Video Nahas Jalan Raya

UAE Larang Sebar Foto, Video Nahas Jalan Raya

ABU DHABI – Kementerian Dalam Negeri Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberi amaran kepada masyarakat tidak berkongsi gambar atau video nahas jalan raya menerusi aplikasi media sosial.

Arahan terbaharu itu dikeluarkan sebagai langkah untuk memelihara maruah dan perasaan waris mangsa khasnya jika baharu sahaja kehilangan anggota keluarga mereka dalam sesuatu kemalangan maut yang berlaku secara tragik.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, penyebaran gambar atau video sedemikian sebenarnya bertentangan dengan undang-undang dan berlawanan terhadap semangat positif kebangsaan yang menerapkan nilai-nilai baik.
“Berkongsi foto kemalangan ialah tingkah laku yang tidak boleh diterima, malah ia mengganggu perasaan keluarga yang kehilangan anggota mereka. Ini juga tidak sesuai dengan tradisi dan budaya UAE,” kata kementerian tersebut.
Kenyataan itu menambah, pihak kementerian tidak teragak-agak melaksanakan ‘sifar toleransi’ terhadap sesiapa yang menyebarkan gambar kemalangan kerana ia berlawanan dengan konsep toleran Islam dalam bermasyarakat.
Amaran itu timbul susulan tindakan ramai individu berkongsi gambar-gambar satu kemalangan ngeri melalui media sosial tempatan yang menunjukkan pemandu penghidap sawan merempuh sebuah restoran di Ajman baru-baru ini.
UAE Larang Sebar Foto, Video Nahas Jalan Raya
UAE Larang Sebar Foto, Video Nahas Jalan Raya
Insiden tragik itu menyakskan seorang wanita Asia yang berusia 45 tahun dan seorang kanak-kanak Arab berumur sembilan tahun terbunuh, sekali gus mencetuskan viral dalam kalangan netizen di negara kaya Asia Barat tersebut.
Pengarah Jabatan Keselamatan Media di kementerian itu, Mejar Fawaz Ali Abdullah berkata, penerbitan imej-imej ngeri itu mengguris perasaan mangsa serta mengakibatkan penderitaan mendalam kepada waris nahas tersebut.
Beliau menyifatkan penyebaran gambar dan video sedemikian melalui media sosial oleh pengguna jalan raya sebagai keterlaluan dan agak luar biasa selain tidak bertanggungjawab memikirkan sensitiviti pihak mangsa itu sendiri.
Pihak berkuasa UAE sering kali mengeluarkan banyak amaran peringatan dan menganjurkan kempen kesedaran awam terhadap kesan negatif akibat amalan merakam visual sesuatu kejadian kemalangan maut yang berlaku.
Sepanjang tahun lalu, sebanyak 4,788 kes nahas jalan raya berlaku di seluruh negara dengan 675 mangsa maut dan 6,863 cedera; berbanding pada 2014 apabila 4,895 kes dicatatkan dengan 712 kematian dan 7,108 kecederaan.
Fawaz Ali malah memberi jaminan, pihak polis bersikap telus dan memberi laporan sebenar mana-mana nahas jalan raya selepas menjalankan siasatan berdasarkan garis panduan kementerian tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA


No comments

Powered by Blogger.