ads

Ulasan Sony Xperia X – Peranti Baik Pada Harga Kurang Munasabah

Xperia X20160718_131918-001

Peranti Sony Xperia Z dihentikan dan digantikan pula oleh Xperia X. Nama jenama Sony akan suram tahun lalu kerana kegagalan Xperia Z5. Di dalam ulasan yang kamu tulis kami kecewa dengan rekaan peranti yang tidak selesa dipegang, masalah pemproses yang panas dan kamera yang mengecewakan walaupun bersaiz besar. Xperia Z5 mungkin peranti paling mengecewakan pernah kami ulas kerana Xperia Z3 yang muncul sebelumnya adalah antara peranti terbaik pernah kami gunakan.
Sony Xperia X ialah peranti kelas pertengahan di dalam keluarga Xperia X. Terdapat XA yang mempunyai spesifikasi lebih rendah dan X Performance yang lebih berkuasa. Xperia X menggabungkan pemproses kelas pertengahan dengan kamera dari peranti utama. Dengan dua kombinasi ini Sony berharap akan dapat memulihkan nama mereka di dalam arena peranti mudah alih. Persoalannya adakah Xperimen ini menjadi?

Spesifikasi

Sony Xperia X
Skrin5.0″ IPS LCD FHD (441 ppi)
ChipsetQualcomm Snapdragon 650
CPU1.8 GHz Cortex A-72 Dua Teras
1.4 GHz Cortex A-53 Empat Teras
GPUAdreno 510
RAM3 Gigabyte
Muatan Dalaman32 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama23 Megapixel f/2.0, PDAF, Rakaman 1080P 60FPS
Kamera Depan13 Megapixel f/2.0, Rakaman 1080P
Bateri2620 mAh (Pengecasan pantas)
SIM/TelefoniDwi SIM Nano
Pengimbas Cap JariYa
NFCYa
Infra MerahTiada
Harga JualanRM 2499
Sony Xperia X mempunyai skrin yang agak kecil sebesar 5″. Skrin IPS LCD ini mempunyai resolusi HD penuh. Pada saiz skrin seperti ini resolusi QHD tidak diperlukan. Sistem kawalan warna X-Realitydisertakan seperti pada peranti Xperia Z.
Pemproses enam teras Snapdragon 650 dipadankan dengan RAM sebesar 3 Gigabyte dan storan 32 Gigabyte. Kepada mereka yang memerlukan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 256 Gigbayte disokong. Peranti ini menyokong dua SIM bersaiz nanodan talam kedua digunakan sebagai slot kad MikroSD.
Kemampuan optik pula ialah kamera utama 23 Megapixel f/2.0 pada bahagian belakang dengan sistem pemfokusan PDAF. Kamera hadapan pula sebesar 13 Megapixel f/2.0. Kamera belakang mampu merakam video pada resolusi maksimum 1080P 60 FPS.
Kapasiti bateri yang digunakan pula ialah 2620 mAH dengan sokongan pengecasan pantas. Bateri tidak boleh ditanggalkan dan pengecasan dilakukan menerusi slot MikroSD. Terdapat juga sokongan NFC tetapi aneh sekali ia terletak pada bahagian hadapan. Ini mungkin peranti pertama dengan lokasi NFC pada panel hadapan. Biasanya ia terletak pada panel belakang. Tidak seperti peranti Xperia lain, lokasi NFC ini tidak ditanda dengan logo NFC yang jelas. Kepada yang tidak membaca manual mereka mungkin tidak menyedari lokasi sentuhan NFC yang aneh ini.

Rekaan

Rekaan Xperia X memperbaiki pelbagai kelemahan yang ditemui pada Xperia Z5. Sisi kini lebih bulat bagi memastikan ia lebih selesa dipegang. Kaca hadapan 2.5D pula memastikan jari dapat bergerak dengan lebih lancar dari skrin ke sisi peranti. Sebelum ini pada Z5 terdapat halangan besi yang membuatkan peranti amat tidak selesa digunakan. Sungguhpun rekaannya tidak banyak berbeza dengan Xperia X Performance, Xperia X tidak kalis air.
Pada bahagian hadapan sistem pembesar suara stereo dikekalkan. Kerana peranti tidak kalis air, kekuatan pembesar suaranya jauh lebih lantang berbanding pada Z5. Ini ialah kerana ketiadaan selaput menutupi pembesar suara bagi mengelakkan  air dari memasuki peranti.
Sisi kanan peranti diletakkan butang kuasa merangkap pengimbas cap jari, butang kawalan suara dan juga butang khas pengatup kamera. Pengimbas cap jari yang digunakan kali ini berfungsi dengan cukup pantas dan tepat. Ini adalah beza langit dan bumi dari yang ditemui pada Z5. Kami langsung tidak mengalami masalah ia gagal mengimbas cap jari kami. Tahniah Sony kerana berjaya memperbaiki masalah yang amat menjengkelkan Z5 dengan pantas. Sungguhpun begitu penggunaan pengimbas jari pada sisi kanan membuatkannya tidak mesra kepada pengguna kidal. Ini ialah sebab mengapa peranti lain di pasaran meletakkan pengimbas cap jari pada panel belakang ataupun hadapan. Dua posisi ini membolehkan pengimbas jari digunakan oleh pengguna bertangan kanan dan juga kidal.
Seperkara lagi kerana penggunaan butang pengimbas yang agak besar, butang kawalan suara terpaksa diletakkan jauh di bawah. Lokasi ini amat tidak mesra pengguna. Ia hanya selesa digunakan sebagai butang zoom apabila peranti dipegang pada posisi landskap untuk mengambil gambar. Slot SIM dan MikroSD terletak pada sisi kiri manakala pada bahagian atas pula terdapat bicu audio 3.5mm. Akhir sekali slot pengecasan MikroUSB terletak pada bahagian bawah.
Panel belakang diperbuat sepenuhnya daripada logam. Bahan yang digunakan tidak berkilat dan tidak memerangkap cap jari dengan mudah. Panel logam ini juga memastikan ia lebih tahan lasak berbanding kaca yang digunakan pada Z3, Z4 dan Z5. Dari pengalaman peribadi, panel kaca pada bahagian belakang ini amat mudah retak.
Secara keseluruhan kami menyukai rekaan Xperia X kerana ia amat selesa dipegang, terasa premium dan memperbaiki kelemahan yang ditemui pada Z5 sebelum ini.
Xperia X 20160718_132142-003

No comments

Powered by Blogger.