ads

Usaha Cari MH370 Digantung Setelah 120,000 Km Persegi

Usaha Mencari MH370 Digantung Setelah Meliputi Kawasan 120,000 Km Persegi

PUTRAJAYA – Gerakan mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 akan digantung apabila pencarian selesai dilakukan di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi.

Perkara ini dinyatakan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan bersempena Mesyuarat Tiga Pihak Peringkat Menteri mengenai MH370 di sini hari ini, yang disertai para menteri pengangkutan dari Malaysia, China dan Australia.
Menurut kenyataan bersama itu, setelah hanya tinggal kurang 10,000 km persegi sahaja lagi kawasan pencarian yang belum diliputi, para menteri berkenaan mengaku bahawa walaupun segala usaha telah dilakukan semua pihak yang terlibat, kemungkinan pesawat itu akan dijumpai semakin tipis.
“Para menteri bersetuju bahawa sekiranya pesawat berkenaan tidak dijumpai di kawasan pencarian sekarang, dan sekiranya tidak terdapat bukti baharu yang berwibawa bagi mengenal pasti lokasi khusus terletaknya pesawat itu, pencarian tidak akan dihentikan, tetapi digantung dahulu setelah usaha mencari selesai dilakukan di kawasan seluas 120,000 km persegi,” katanya.
Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada pengesanan radar setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Berikutan itu, operasi besar-besaran dilakukan di selatan Lautan Hindi, kawasan pesawat itu dipercayai mengakhiri penerbangannya setelah melencong daripada laluan asalnya.
Menurut kenyataan itu, para menteri berkenaan menegaskan sekali lagi bahawa usaha mencari MH370 tidak pernah diabaikan.
“Penggantungan tidak bererti usaha mencari ditamatkan,” katanya.
Kenyataan itu menegaskan bahawa sekiranya terdapat maklumat baharu yang berwibawa dan boleh digunakan bagi mengesan lokasi khusus terletaknya pesawat berkenaan, pertimbangan akan dibuat tentang langkah seterusnya yang perlu diambil. – BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.