ads

Lebih 200 Orang Positif Zika Di Singapura

zika

SINGAPURA mengesahkan sebanyak 26 lagi kes baharu jangkitan tempatan virus zika semalam dan menjadikan jumlah kes jangkitan virus zika di republik itu kini meningkat kepada 215 orang.

Kementerian Kesihatan dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan, kes terbaharu itu melibat 24 kes yang mempunyai kaitan dengan lokasi penyebaran yang dinyatakan sebelum ini.
Jangkitan itu melibatkan pesakit yang tinggal di Aljunied Crescent, Sims Drive, Kallang Way dan Paya Lebar Way.
Manakala dua lagi kes dilaporkan tiada kaitan dengan mana-mana kawasan yang dikenalpasti, namun tidak menjelaskan di mana ia dikesan.

Pihak berkuasa tempatan memberitahu, kes terbaharu itu turut melibatkan wanita hamil kedua.
Terdahulu, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong menasihatkan penduduk republik ini agar berhati-hati kerana jangkitan virus itu bukan hanya berlaku di Aljunied dan Bedok, tetapi boleh tersebar ke seluruh negara.
Dalam perkembangan ber­kaitan di Thailand, dua wanita berumur 18 dan 74 tahun disahkan dijangkiti oleh virus zika di daerah San Sai, Chiang Mai.
Gabenor Chiang Mai, Pawin Chamniprasart berkata, seorang pelajar universiti berusia 18 tahun jatuh sakit pada Sabtu lalu sebelum doktor mengesahkan dia dijangkiti zika, semalam, begitu juga dengan pesakit warga emas itu.
Sementara itu di Indonesia, pihak berkuasa Lapangan Terbang Soekarno Hatta memulakan operasi sebanyak 14 mesin imbasan suhu badan bagi menghalang penularan zika.
Portal Tempo melaporkan, mesin itu diletakkan di Terminal 2 yang juga balai ketibaan antarabangsa. -SAYANG.NET

No comments

Powered by Blogger.