ads

MCA Desak Jeff Ooi Mohon Maaf Pada Keluarga Haron Din

5

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mendesak Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Datuk Dr Haron Din atas kenyataan tidak sensitif wakil rakyat DAP itu.
Tegasnya, walaupun berbeza ideologi politik, kematian tokoh agama itu tidak sepatutnya dipolemikkan.
“Kita rasa kesal mengenai perkara ini kerana pihak mereka tidak sensitif kerana ini satu kehilangan tokoh negara. Walaupun kita berbeza pendapat dari segi politik, tetapi kita tidak perlulah menjadikan ia bahan untuk mempolitikkan lagi,” katanya semasa ditemui media selepas menghadiri Majlis Perasmian Pertandingan Bola Keranjang 3 on 3 di Wisma MCA di sini hari ini.

Jelasnya lagi, pemergian Allahyarham Haron Din adalah satu kehilangan besar kepada negara.
“Jadi, kita berasa sedih perkara ini berlaku dan individu berkenaan perlu meminta maaf kepada ahli keluarga Allahyarham sekiranya mereka ada mengeluarkan kata-kata yang tidak manis,” kata beliau.
Kata Tiong Lai, setiap anggota masyarakat perlu sentiasa sensitif dan cuba memahami budaya dalam masyarakat bagi mengelak sebarang kekeliruan berlaku.
“Saya rasa pemahaman atau semangat perpaduan yang kental antara kita penting kerana kita perlu sensitif kepada pandangan atau budaya kaum masing-masing.
“Kita tahu bahawa budaya Islam, budaya Melayu, memang apabila mereka meninggal, mereka perlu dikebumikan dalam masa singkat, tidak seperti kaum Cina yang mengambil masa beberapa hari sebelum dikebumikan,” ujarnya.
Ujarnya, melalui pemahaman budaya kaum lain, maka semangat perpaduan antara masyarakat akan sentiasa dikekalkan.
“Jadi pemahaman kebudayaan itu penting dan kita perlu menghormati rakyat berbilang kaum dalam negara kita. Oleh itu, semangat perpaduan itu perlu kita pupuk setiap masa. Jadi, semua orang perlu sensitif terhadap pandangan kepada sesuatu kaum,” tambah beliau.
Pada Sabtu, Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng turut kesal dengan kenyataan berkenaan yang mengundang kemarahan banyak pihak.
Beliau juga memaklumkan Jeff Ooi telah memadamkan perkongsian status berkenaan di Twitter beliau.
Jeff Ooi sebelum ini menerusi akaun Twitternya berkata: “Adios Harun Din, let there be peace”. -ASTROAWANI

No comments

Powered by Blogger.